Friday, October 12, 2012

Memperingati Tragedi Marvi Marmara "LIFELINE 4GAZA"


marmara2-01    Setelah lebih dua tahun keganasan tentera Israel menyerang, membunuh, mencedera, memenjara dan menyiksa aktivis kemanusiaan Freedom Flotilla berlalu tanpa sebarang dakwaan, sebuah mahkamah di Istanbul bakal menyaksikan suatu prosedur undang-undang  yang sangat menarik pada 6 November ini kerana ia melibatkan implikasi undang-undang dan tindakan antarabangsa.
Tentu ramai yang memandang skeptikal bahkan sinis terhadap usaha membawa penjenayah Zionis ke muka pengadilan apatah lagi dengan melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang dilihat sebagai kuda tunggangan zionis untuk terus hidup kebal mengkhianati undang-undang.
Perbicaraan yang melibatkan dakwaan ke atas barisan pegawai tertinggi rejim pengganas Israel ini akan menjadi perhatian para aktivis yang menjadi mangsa serangan dalam kejadian 31 Mei, 2010 itu, saudara-mara mereka, dan juga semua aktivis kemanusiaan yang jujur dan cekal tanpa mengira agama, bangsa, budaya mahupun warganegara. Pemerhati hak asasi manusia, pengamal undang-undang dan pihak media tentu akan turut memberikan tumpuan kepada kes ini.
marmara2-07Mavi Marmara membuka mata masyarakat dunia tentang kejahatan Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin. Sekatan dan serangan masih berterusan hingga ke hari ini. Gambar ini menunjukkan seorang kanak-kanak dikejarkan untuk rawatan di Hospital An Najar selepas terkena serangan udara tentera Zionis di Rafah pada 7 Oktober 2012.Sedar ataupun tidak, arus perjuangan yang dibawa oleh Freedom Flotilla yang dikepalai oleh kapal MV Mavi Marmara telah mengubah lanskap politik rejim Israel di mata dunia, sekaligus membuka era baru dalam permasalahan Palestin. Jelas kebiadaban Yahudi itu telah mengundang padah pada dirinya sendiri. Perjuangan terhadap hak rakyat Palestin dan pembebasan bumi Anbiya' yang penuh barakah itu kini bertukar menjadi perjuangan antarabangsa, bukan lagi permasalahan domestik bangsa Palestin atau bangsa Arab semata-mata.
Lebih daripada itu, ia juga bukan lagi pertembungan di antara umat Islam dan rejim Zionis Yahudi, bahkan perjuangan kemanusiaan sejagat menjangkau batasan agama dan budaya dalam menentang kejahatan rejim tersebut. Kita dapat melihat perjuangan Palestin kini diterima dan turut didokong oleh masyarakat dunia dari segenap penjuru baik di Eropah, Amerika Latin, Jepun mahupun Korea. Belum pernah ini terjadi dalam ratusan tahun perjuangan di bumi Palestin.
Bukankah ini menunjukkan kepada kita bahawa misi yang dibawa oleh Mavi Marmara bersama gerombolan flotila aman dan para penumpangnya itu terus hidup dan berkembang?
Justeru, apa pula yang bakal kita lihat daripada proses pendakwaan ke atas para penjenayah ini?
Sudah tentu kita akan melihat selangkah lagi kemajuan dalam misi Mavi Marmara, tidak kira apa jua keputusan pendakwaan itu nanti.
Pertamanya, dunia akan sekali lagi memberi peringatan kepada rejim Zionis dan sekutunya bahawa masyarakat dunia sentiasa tidak melupakan kejahatan mereka ke atas Palestin yang sedang terjajah. Kejahatan mereka dibina atas kejahatan-kejahatan yang lain, sehinggakan tidak hanya merosakkan bumi dan rakyat Palestin bahkan mengancam masyarakat dunia seluruhnya.
marmara2-02Dr Syed Muhammad Haleem (kanan) bersama relawan Malaysia, Mustafa Mansur (tengah) dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (kiri), di atas kapal Mavi Marmara ketika dalam pelayaran ke Gaza. 12 relawan Malaysia turut menjadi mangsa serangan tentera Zionis dan dipenjarakan di negara haram Israel.Kedua, setiap insan yang waras dan pemerintahan yang adil akan dapat menerima hakikat bahawa kepungan ke atas Gaza dan tindakan Zionis menjajah Palestin adalah salah dan mencabuli hak asasi manusia. Dunia kini sudah terlalu maju ke hadapan untuk menerima apa jua unsur perhambaan atau Apartheid dalam kehidupan mereka. Zaman itu telah berlalu dan jika masih berlaku, ianya suatu aib besar di alaf ini. Dan aib ini sedang dilaksanakan oleh rejim kuno Zionis Israel.
Ketiga, misi Freedom Flotilla yang dikepalai Mavi Marmara dan semua penumpangnya terus hidup subur membawa agenda menerobos kepungan, sehinggalah Zionis melepaskan sepenuhnya embargo haram ke atas Gaza dan penaklukan ke atas wilayah lain di Palestin. Gerombolan aktivis akan terus melangkah kaki ke Palestin, tidak kira apa juga halangan yang bakal mereka hadapi. Para aktivitis dunia bagaikan tidak mahu rehat sehinggalah Palestin dibebaskan sepenuhnya. Israel tidak akan dapat tidur nyenyak, diganggu igauan ngeri saban malam, sejak peristiwa Mavi Marmara.
Seterusnya, kita akan melihat bahawa dunia akhirnya mampu mengatakan bahawa Zionis boleh dibicarakan atas jenayah mereka, dan tiada siapa yang terlindung daripada tindakan keadilan mahkamah antarabangsa. Dunia akan bersatu demi keadilan dan keharmonian, sebagaimana kita melihat bangsa Arab bangkit bersatu menentang kezaliman rejim-rejim pemerintahan yang sekian lama zalim.
Apa pula peranan kita? Apakah cukup dengan sekadar menjadi pemerhati dan menitiskan air mata kesedihan, sedangkan dunia terus berubah? Tentulah kita ingin menyumbang dan turut berubah kepada kebaikan.
Para peserta Latihan Aktivis dan Masyarakat Prihatin Palestin yang telah dianjurkan oleh Biro HALUAN Palestin pada minggu lepas menggariskan satu resolusi ringkas tetapi praktikal untuk kita teladani.
Pertamanya, mereka bertekad untuk memperbaiki diri agar lebih akrab dengan Allah SWT, Pencipta dan Penguasa seluruh alam. Keakraban itu akan dibina dengan amal dan ilmu yang berterusan dan meningkat, sehingga setiap usaha membantu perjuangan Palestin tidak akan tersasar daripada keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Seterusnya, para peserta bertekad untuk menyebarluaskan permasalahan Palestin kepada masyarakat sehingga menjadi topik perbualan harian. Setidaknya masyarakat terdekat mereka di pejabat, universiti dan masjid akan terkesan.
Akhirnya, mereka bertekad untuk menzahirkan kefahaman terhadap permasalah Palestin ini dengan bekerja keras mengajak masyarakat mengumpul dana membantu rakyat Palestin dan perjuangan pembebasannya.
Itulah tiga elemen dalam satu resolusi yang mudah, tetapi sudah cukup untuk mengisi umur kita dengan agenda perjuangan.
Misi pembelaaan dan pembebasan bumi Palestin yang dibawa oleh MV Mavi Marmara bukanlah ekslusif untuk para penumpangnya atau aktivis kemanusiaan Palestin semata-mata. Setiap kita, dari generasi ke generasi, akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas perkara ini. Ayuh kita sedar, insaf dan terus berjuang membantu Palestin. Isu Palestin adalah isu ummat dan isu kemanusiaan sejagat.
marmara2-03Mavi Marmara membawa relawan dari 32 buah negara, termasuk Malaysia dan Indonesia. Ribuan relawan dari 50 negara lain menyokong pelayaran Freedom Flotilla ini.
marmara2-04Lebih 50 relawan tercedera akibat serangan ini. Gambar menunjukkan relawan Malaysia Dr Mohd Arba'ai Shawal (kanan) membantu dan merawat salah seorang mangsa.
marmara2-05Semua relawan dan krew kapal ditangkap dan diikat sebelum dibawa ke penjara. Gambar menunjukkan mangsa yang tercedera parah turut diikat dan dikawal rapi oleh tentera bersenjata.
marmara2-06Sembilan relawan terbunuh. Laporan perubatan menunjukkan ada yang dibunuh dengan sengaja dari jarak dekat dan dari arah belakang. Semoga Allah merahmati roh mereka semua.
----------
Tulisan Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, Pengerusi Biro HALUAN Palestin. Beliau juga merupakan alumni Mavi Marmara.
-sumber Haluan Malaysia

No comments:

Post a Comment